Penyerang Serangan 11 September 2001

Mohamed Atta, seorang warganegara Mesir, merupakan ketua 19 perampas 11 September.

Berjam-jam selepas serangan, FBI mengeluarkan nama-nama perampas dan juruterbang yang disyaki kepada umum, di samping butiran peribadi sesetengah mereka.[79][80] Mohamed Atta dari Mesir merupakan ketua 19 perampas dan salah seorang juruterbang.[81] Atta terkorban dalam serangan bersama semua perampas yang lain, tetapi bagasinya (yang tidak disambungkan dari penerbangannya dari Portland ke Penerbangan 11) mengandungi kertas-kertas yang mendedahkan identiti kesemua 19 perampas dan petunjuk-petunjuk penting yang lain mengenai rancangan, motif dan latar belakang mereka.[82] Pada tengah hari, Agensi Keselamatan Negara memintas komunikasi yang menghala ke Osama bin Laden, begitu juga dengan agensi-agensi perisikan Jerman.[83][84]

Pada 27 September 2001, FBI mengeluarkan gambar 19 perampas berserta maklumat kerakyatan dan nama-nama lain yang mungkin digunakan oleh mereka.[85] 15 daripada mereka berasal dari Arab Saudi, dua dari Emiriah Arab Bersatu, seorang dari Mesir (Atta), dan seorang dari Lubnan.[86]

Siasatan FBI terhadap kejadian yang bernama kod Operasi PENTTBOM, merupakan usaha penyiasatan yang terbesar dan paling rumit dalam sejarah FBI, melibatkan lebih 7,000 ejen khas.[87] Kerajaan Amerika Syarikat mendapati bahawa al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden bertanggungjawab atas serangan ini, sementara FBI berkata bahawa "bukti yang mengaitkan al-Qaeda dan bin Laden dengan serangan 11 September adalah jelas dan tidak boleh disangkal".[88] Kerajaan United Kingdom mendapat kesimpulan yang sama bahawa al-Qaeda dan Osama bin Laden bersalah atas serangan 11 September.[89]

Pengarang Laurie Mylroie yang menulis dalam majalah siasah konservatif The American Spectator pada tahun 2006, berhujah bahawa Khalid Sheikh Mohammed sekeluarga merupakan perancang utama 9/11 dan serangan-serangan seumpamanya, manakala kaitan Khalid Sheikh Mohammed dengan Osama bin Laden adalah sampingan dan pengakuan bertanggungjawab al-Qaeda atas serangan itu datang selepas hakikat itu dan bersifat oportunis.[90] Bekas pegawai CIA, Robert Baer, menuliskan kenyataan yang bercanggah dengan hujah Mylorie dalam majalah Time pada tahun 2007, dengan menegaskan bahawa pendedahan pengakuan bertanggungjawab Khalid Sheikh Mohammed atas 9/11 dan tindakan-tindakan lain oleh kerajaan pimpinan George W. Bush merupakan cubaan yang berdusta untuk mendakwa bahawa kesemua pelaku utama 9/11 telah ditangkap.[91]

Al-Qaeda

Rencana utama: Al-Qaeda

Asal-usul al-Qaeda boleh disusuri ke tahun 1979, apabila Kesatuan Soviet menyerang Afghanistan. Sebaik sahaja selepas serangan itu, Osama bin Laden pergi ke Afghanistan untuk menghulurkan bantuan dalam mendirikan puak mujahidin Arab serta menubuhkan pertubuhan Maktab al-Khidamat (MAK) untuk menentang Soviet. Ketika berperang dengan Kesatuan Soviet, bin Laden dan para pejuangnya menerima pembiayaan Amerika dan Saudi yang kebanyakannya disalurkan menerusi ISI, perkhidmatan perisikan Pakistan.[92] Pada tahun 1989, apabila Soviet berundur, MAK ditukarkan menjadi "angkatan gerak balas cepat" yang berjihad ke atas pemerintah-pemerintah di seluruh dunia Islam. Dengan bimbingan Ayman al-Zawahiri, Osama bin Laden menjadi lebih radikal.[93] Pada tahun 1996, bin Laden mengeluarkan fatwa pertamanya yang menyeru supaya tentera Amerika meninggalkan Arab Saudi.[94]

Bin Laden mengeluarkan fatwa keduanya pada tahun 1998 untuk membantah dasar luar Amerika Syarikat terhadap Israel, serta kehadiran askar Amerika yang berterusan di Arab Saudi selepas Perang Teluk.[95] Bin Laden menggunakan kitab suci Islam untuk menggesa tindakan ganas terhadap tentera dan rakyat Amerika Syarikat sehingga tuntutan-tuntutannya diakur, dengan hujah bahawa "para ulama sepanjang sejarah Islam bersetuju sebulat suara bahawa jihad merupakan tugas perseorangan jika musuh menghancurkan negara-negara Islam."[95]

Perancangan serangan

Gagasan komplot 11 September datangnya daripada Khalid Sheikh Mohammed yang mula-mula membentangkan gagasannya itu kepada Osama bin Laden pada tahun 1996.[96] Ketika itu, bin Laden dan al-Qaeda berada dalam zaman peralihan dan baru berpindah balik ke Afghanistan dari Sudan.[97] Kejadian pengeboman kedutaan Amerika Syarikat di Afrika dan satu lagi fatwa bin Laden, kedua-duanya pada tahun 1998, menandakan titik perubahan yang mana bin Laden berhajat untuk menyerang Amerika Syarikat.[97] Pada Disember 1998, Pusat Anti-Pengganas Pengarah Perisikan Pusat melaporkan kepada Presiden Bill Clinton bahawa al-Qaeda sedang membuat persiapan untuk menyerang di Amerika Syarikat, termasuk melatih kakitangan untuk merampas pesawat.[98]

Sekitar akhir 1998 atau awal 1999, bin Laden memberikan kelulusan kepada Mohammed untuk terus mengaturkan rancangan. Pada musim bunga 1999, serantai perjumpaan diadakan melibatkan Khalid Sheikh Mohammed, Osama bin Laden, dan timbalannya, Mohammed Atef.[97] Mohammed menyediakan sokongan operasi untuk komplot itu, termasuk memilih sasaran serta membantu mengaturkan perjalanan untuk para perampas.[97] Bin Laden menolak beberapa sasaran yang diusulkan oleh Mohammed seperti U.S. Bank Tower di Los Angeles[99] kerana "kesuntukan masa untuk membuat persiapan untuk operasi sebegini".[100]

Bin Laden memimpin komplot, di samping menghulurkan bantuan kewangan, serta terlibat dalam pemilihan peserta untuk komplot ini.[101] Bin Laden pada mulanya memilih Nawaf al-Hazmi dan Khalid al-Mihdhar, kedua-duanya mujahid berpengalaman yang berjuang di Bosnia. Hazmi dan Mihdhar tiba di Amerika Syarikat pada Januari 2000, selepas menghadiri Sidang Kemuncak al-Qaeda di Kuala Lumpur, Malaysia. Pada musim bunga 2000, Hazmi dan Mihdhar menjalani latihan penerbangan di San Diego, California, tetapi mereka berdua kurang fasih berbahasa Inggeris, kurang cemerlang dalam pelajaran, dan akhirnya bertindak sebagai perampas sampingan.[102][103]

Pada akhir tahun 1999, sekumpulan lelaki dari Hamburg, Jerman tiba di Afghanistan, termasuk Mohamed Atta, Marwan al-Shehhi, Ziad Jarrah, dan Ramzi bin al-Shibh.[104] Bin Laden memilih mereka ini untuk komplot ini, kerana mereka berpendidikan tinggi, fasih berbahasa Inggeris, dan berpengalaman hidup di negara Barat.[105] Rekrut-rekrut baru diperiksa secara rutin untuk kemahiran khas, dan dengan ini kepimpinan al-Qaeda memilih Hani Hanjour, pemegang lesen juruterbang komersil, untuk komplot ini.[106]

Hanjour tiba di San Diego pada 8 Disember 2000 lalu bertemu dengan Hazmi. Kemudian, mereka berlepas ke Arizona, di mana Hanjour menjalani latihan ulang kaji. Marwan al-Shehhi tiba di akhir Mei 2000, manakala Atta tiba pada 3 Jun 2000, dan Jarrah pula pada 27 Jun 2000. Bin al-Shibh berkali-kali memohon visa ke Amerika Syarikat, tetapi sebagai warganegara Yaman, beliau ditolak atas sebab kemungkinan bahawa dia akan berdiam melebihi had visanya dan kekal sebagai pendatang haram. Bin al-Shibh kekal di Hamburg untuk menyediakan penyelarasan antara Atta dan Khalid Sheikh Mohammed. Ketiga-tiga ahli sarang Hamburg berlatih kejuruterbangan di Florida selatan.

Pada musim bunga 2001, para perampas sampingan mulai tiba di Amerika Syarikat.[107] Pada Julai 2001, Atta berjumpa dengan bin al-Shibh di Sepanyol, di mana mereka menyelaraskan butir-butiran komplot, termasuk pemilihan sasaran muktamad. Bin al-Shibh turut menyampaikan hajat bin Laden supaya serangan dijalankan secepat mungkin.[108]

Osama bin Laden


Pengisytiharan perang jihad ke atas Amerika Syarikat oleh Osama bin Laden, serta satu fatwa yang ditandatangani oleh bin Laden dan lain-lain, menyeru pembunuhan orang awam Amerika Syarikat pada tahun 1998, dilihat oleh pihak penyiasatan sebagi bukti dorongannya untuk melakukan tindakan sedemikian.[109]

Bin Laden pada mulanya menafikan, tetapi kemudian mengakui terlibat dalam kejadian ini.[1][110] Al Jazeera menyiarkan kenyataan oleh bin Laden pada 16 September 2001 yang berbunyi "Ingin saya tegaskan bahawa bukan saya yang melaksanakan tindakan ini yang nampaknya dilaksanakan oleh individu-individu dengan dorongan-dorongan tersendiri."[111] Pada November 2001, tentera A.S. menemui semula sebuah pita video dari sebuah rumah yang musnah di Jalalabad, Afghanistan, di mana bin Laden dilihat berbual dengan Khaled al-Harbi serta mengakui berpengetahuan terlebih dahulu akan serangan ini.[112] Pita ini disiarkan di berbagai-bagai rangkaian berita mulai 13 Disember 2001. Ketampilannya yang terherot-benyot dalam pita itu dikatakan disebabkan oleh artifak pemindahan pita.[113] Pada 27 Disember 2001, keluarnya satu lagi video bin Laden, dalam mana beliau berucap, "Pengganasan terhadap Amerika wajar dipuji kerana ia merupakan pembalasan kepada ketidakadilan, [dan] bertujuan memaksa Amerika menghentikan sokongannya kepada Israel yang membunuh orang kita (Arab/Muslim)", tetapi tidak pula mengakui bertanggungjawab atas serangan itu.[114]

Sebaik sahaja sebelum pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada tahun 2004, dalam satu lagi rakaman video kenyataan, bin Laden secara umumnya mengakui pelibatan al-Qaeda dalam serangan ke atas A.S. serta mengakui hubungan langsungnya dengan kejadian ini. Katanya, serangan itu dijalankan kerana "kami bebas...dan ingin mendapat balik kebebasan demi bangsa kami. Oleh sebab kamu mencabuli keselamatan kami, kami mencabuli keselamatan kamu."[115] Osama bin Laden kata, beliau secara peribadinya mengarahkan para pengikutnya untuk menyerang World Trade Center.[110][116] Satu lagi video yang diterima oleh Al Jazeera pada September 2006 menunjukkan Osama bin Laden bersama Ramzi bin al-Shibh, serta dua orang lagi perampas, iaitu Hamza al-Ghamdi dan Wail al-Shehri, ketika mereka membuat persiapan untuk serangan itu.[117]

Garis masa terperinci mengenai pengetahuan terdahulu bin Laden didedahkan dalam temu ramah September 2002 yang diadakan oleh pembuat dokumentari, Yosri Fouda bersama Khalid Sheikh Mohammed dan Ramzi bin al-Shibh: keputusan untuk melancarkan "operasi syahid di dalam Amerika" dibuat oleh suruhanjaya ketenteraan al-Qaeda pada awal tahun 1999; selepas memutuskan tarikh serangan (11 September 2001), Atta memaklumkan bin al-Shibh tentang tarikh ini pada 29 Ogos 2001. Bin Laden diberi maklumat ini pada 6 September 2001.[28]

Pada 1 Mei 2011, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengumumkan bahawa Osama bin Laden telah dibunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan tentera Amerika di Abbottabad, Pakistan, dan jenazahnya disimpan oleh pihak kerajaan A.S. Pengumuman ini disusuli oleh keraian di seluruh Amerika Syarikat.[118][119]

Khalid Sheikh Mohammed

Rencana utama: Khalid Sheikh Mohammed
Khalid Sheikh Mohammed selepas ditangkap di Pakistan

Wartawan Yosri Fouda untuk saluran televisyen Arab, Al Jazeera melaporkan pada April 2002, Khalid Sheikh Mohammed mengakui pelibatannya di samping Ramzi bin al-Shibh, dalam "operasi Selasa Kudus".[120][121][122] Laporan Suruhanjaya 9/11 mendapati bahawa kemarahan terhadap Amerika Syarikat yang dirasai oleh Khalid Sheikh Mohammed, "dalang utama" serangan 9/11, "bukannya [berpunca] daripada pengalamannya di situ sebagai mahasiswa, tetapi daripada kecamannya terhadap dasar luar A.S. yang menyebelahi Israel".[97]

Mohamed Atta turut berkongsi dorongan ini. Ralph Bodenstein, seorang bekas rakan sekelas Atta, menyifatkannya sebagai "sebenarnya paling didorong oleh... perlindungan A.S. ke atas politik Israel di rantau itu (Timur Tengah)".[123] Abdulaziz al-Omari, seorang perampas Penerbangan 11 bersama Mohamed Atta, berkata dalam video wasiatnya, "Kerja saya merupakan pesanan kepada sesiapa yang mendengar saya dan semua orang yang melihat saya; pada masa yang sama, ia merupakan pesanan kepada para kafir supaya meninggalkan semenanjung Arab dalam keadaan tertumpas serta berhenti menghulurkan bantuan kepada Yahudi yang pengecut di Palestin."[124]

Khalid Sheikh Mohammed juga merupakan penasihat dan pembiaya pengeboman World Trade Center pada tahun 1993. Beliau juga bapa saudara kepada Ramzi Yousef, ketua pengebom dalam serangan itu.

Khalid Sheikh Mohammed diberkas pada 1 Mac 2003 di Rawalpindi, Pakistan oleh pihak berkuasa Pakistan yang bekerjasama dengan CIA, dan kini sedang ditahan di Teluk Guantanamo.[125] Ketika dibicarakan di A.S. pada Mac 2007, Sheikh Mohammed sekali lagi mengakui bertanggungjawab atas serangan itu, dengan berkata "Saya bertanggungjawab atas operasi 9/11 dari pangkal hingga hujung."[122][126] Mohammed membuat pengakuan itu setelah diseksa dengan dicurahi air.[127] Pada November 2009, Peguam Negara AS, Eric Holder mengumumkan bahawa Mohammed dan empat lagi konco yang disyaki akan dipindahkan dari Teluk Guantanamo, Cuba untuk dibicarakan di mahkamah awam dekat bekas tapak World Trade Center di New York. Holder meluahkan rasa yakin bahawa para yang tertuduh akan dibicarakan secara adil dan "telus kepada rakyat dan mata dunia".[128]

Ahli al-Qaeda yang lain

Menurut dokumen Substitution for Testimony of Khalid Sheikh Mohammed (Penggantian Testimoni Khalid Sheikh Mohammed) daripada perbicaraan Zacarias Moussaoui, lima orang dikenal pasti sedar sama sekali akan butiran operasi, iaitu Osama bin Laden, Khalid Sheikh Mohammed, Ramzi bin al-Shibh, Abu Turab al-Urduni dan Mohammed Atef.[129] Sehingga kini, hanya tokoh-tokoh sampingan yang dibicarakan atau disabit kesalahan atas serangan ini. Bin Laden pun tidak sempat didakwa secara rasmi atas kejadian ini.[130]

Pada 26 September 2005, mahkamah tinggi Sepanyol yang dikerusikan oleh hakim Baltasar Garzón menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun ke atas Abu Dahdah kerana berkomplot dalam serangan 9/11 serta menjadi ahli pertubuhan pengganas al-Qaeda. Pada masa yang sama, 17 lagi ahli al-Qaeda dihukum penjara selama enam hingga sebelas tahun.[131][132] Pada 16 Februari 2006, Mahkamah Agung Sepanyol meringankan hukuman Abu Dahdah kepada 12 tahun setelah mendapati bahawa pelibatannya dalam komplot tidak dapat dibuktikan.[133]

Motif

Antara motif-motif di sebalik serangan 11 September ialah kehadiran pihak A.S. di Arab Saudi,[134] sokongan A.S. terhadap Israel,[135] dan sekatan terhadap Iraq.[136] Motif-motif ini dinyatakan terang-terangan oleh al-Qaeda dalam beberapa pengisytiharan sebelum serangan berlaku, termasuk fatwa-fatwa yang dikeluarkan pada Ogos 1996,[137] dan Februari 1998.[138] Selepas kejadian, bin Laden dan Ayman al-Zawahiri menerbitkan beberapa lagi pita video dan audio, sesetengahnya mengulang-ulang sebab-sebab serangan itu dilakukan. Dua terbitan yang terpenting ialah "Warkah untuk Amerika" oleh bin Laden pada tahun 2002,[139] dan pita video 2004 oleh bin Laden juga.[140] Selain pengumuman langsung oleh bin Laden dan Al-Qaeda, dorongan kepada serangan ini juga dianjurkan oleh ramai pengupas politik.

Kehadiran tentera A.S. yang berterusan di Arab Saudi selepas Perang Teluk ialah salah satu dorongan yang tersurat di sebalik serangan pengganas 11 September,[138] pengeboman Menara Khobar, dan juga tarikh yang dipilih untuk pengeboman kedutaan Amerika Syarikat 1998 (7 Ogos), iaitu genap lapan tahun selepas hari ketibaan tentera A.S. di Arab Saudi.[141] Bin Laden mentafsir sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang melarang "kehadiran orang kafir secara tetap di tanah Arab".[142] Pada tahun 1996, Bin Laden mengeluarkan fatwa yang menyeru supaya tentera Amerika Syarikat keluar dari Arab Saudi.Dalam fatwa 1998, Al-Qaeda menyatakan: "sudah lebih tujuh tahun Amerika Syarikat menduduki tanah Islam di tempat-tempat tersuci, di Semenanjung Arab, menjarah kekayaannya, mengarah-arah pemerintahnya, mengaibkan rakyatnya, mengganas jiran-jirannya, lalu menjadikan pangkalannya di Semenanjung sebagai penganjur untuk menentang umat Islam yang berjiran."[143] Dalam temu bual bersama Rahimullah Yusufzai pada Disember 1999, bin Laden meluahkan pandangannya bahawa tentera Amerika berpangkalan "terlalu dekat dengan Makkah" dan menganggap perihal ini sebagai pembangkit kemarahan seluruh dunia Ilam.[144]

Dalam "Warkah untuk Amerika" pada tahun 2002, bin Laden menyifatkan sokongan Amerika Syarikat kepada Israel sebagai salah satu dorongan: "Penubuhan dan kesinambungan negara Israel merupakan antara jenayah terbesar, dan kamulah pemimpin-pemimpin pelaku jenayah itu. Sesungguhnya, tidak perlu dijelaskan dan dibuktikan sejauh mana Amerika menyokong Israel. Penubuhan Israel merupakan jenayah yang mesti dihapuskan. Setiap insan yang bernoda tangannya kerana menyumbang kepada jenayah ini mestilah menerima padahnya secukup-cukupnya."[145] Pada tahun 2004 dan 2010, bin Laden sekali lagi melaungkan hubungan antara serangan 11 September dan sokongan yang diraih oleh Israel daripada Amerika Syarikat.[146][147][148] Sesetengah pengupas, termasuk Mearsheimer dan Walt, juga berhujah bahawa sokongan Amerika Syarikat kepada Israel juga salah satu dorongan kepada serangan ini.[144][149]

Dalam fatwa 1998, al-Qaeda mengungkit sekatan terhadap Iraq sebagai sebab untuk membunuh rakyat Amerika: "biarpun rakyat Iraq dibebani pembinasaan oleh perikatan salibi-Zionis, dan biarpun ramainya yang terkorban sehingga menjangkau sejuta orang... biarpun semua ini, orang Amerika sekali lagi cuba mengulangi pembunuhan beramai-ramai yang dengan dahsyat, seolah-olah tidak puas dengan kepungan berlanjutan yang dikenakan selepas peperangan yang keterlaluan ataupun pemecah-belahan dan pembinasaan....Oleh yang demikian, dan selaras dengan perintah Allah, kami mengeluarkan fatwa yang berikut kepada semua umat Islam: Perintah untuk membunuh orang Amerika dan sekutu-sekutu mereka—orang awam mahupun tentera—merupakan kewajipan individu bagi setiap umat Islam..."[143]

Selain motif-motif yang disiarkan oleh al-Qaeda, para pengupas telah mengusulkan motif-motif lain, termasuk keaiban yang timbul daripada dunia Islam yang makin mundur di belakang dunia barat yang makin ketara kesan globalisasi baru-baru ini.[150][151] Satu lagi motif yang dianjurkan ialah keinginan untuk memberangsangkan A.S. untuk melancarkan perang yang lebih besar ke atas dunia Islam dengan hasrat mendorong lebih ramai sekutu untuk menyokong al-Qaeda.[152]

Rujukan

WikiPedia: Serangan 11 September 2001 http://www.theage.com.au/news/world/spain-jails-18... http://www.cbc.ca/world/story/2004/10/29/binladen_... http://www.cbc.ca/world/story/2006/09/07/al-qaeda-... http://www.tc.gc.ca/mediaroom/releases/nat/2001/01... http://www.chass.utoronto.ca/~ikalmar/illustex/bau... http://www.amconmag.com/2005_08_01/article3.html http://www.architectureweek.com/2001/0926/today.ht... http://www.biography.com/profiles-of-9-11/about911... http://www.bloomberg.com/news/2010-09-11/new-york-... http://sysdesignshowcase.broadcastengineering.com/...